Wednesday, December 18, 2013

...Tanggungjawab...

Tanggungjawab menurut kamus Bahasa Melayu adalah kewajiban memikul dan menanggung segala sesuatunya,dan menanggung akibatnya.
Tanggungjawab adalah kesedaran manusia terhadap tingkah laku atau perbuatannya yang sengaja mahupun yang tidak sengaja. 


Di sini, saya ingin membincangkan tanggungjawab sebagai seorang mahasiswa.

Mahasiswa-mahasiswa perlu sedar bahawa, keutamaan universiti masih lagi kepada keperluan untuk menyediakan anak-anak muda menguasai ilmu pengetahuan dan mengisi peluang pekerjaan malah menggunakan ilmu pengetahuan dan kepakaran mereka dalam melakukan transformasi dalam menghadapi cabaran-cabaran baharu masa kini dan masa hadapan.

Mereka yang melihat dirinya hanya datang untuk mendapat segulung ijazah dan kemudiannya dengan mudah diterima dalam sektor pekerjaan tentunya sudah tidak realistik.
Hakikatnya dengan bilangan besar yang mula masuk ke universiti sekarang ini memerlukan satu usaha yang bersungguh-sungguh untuk bersaing dan menjadi antara yang terbaik. Lihat sahaja terdapat pelajar yang mempunyai keputusan PNGK yang 4.0 belum tentu mendapat tempat jika tidak disertai dengan kesesuaian diri dalam konteks memenuhi keperluan-keperluan lain yang ditetapkan mengikut keperluan pengajian dalam ijazah tertentu.

Mereka yang datang ke universiti dengan mimpi hidup dalam angan- angan dan membuang masa dengan hal-hal yang tidak berfaedah, akhirnya akan meninggalkan kampus dengan tangan kosong tatkala orang lain menggunakan universiti sebagai landasan untuk membina pembangunan sahsiah yang tinggi, daya kepimpinan dan bakat dalam diri dalam pelbagai bidang, mencapai kecemerlangan akademik dan gigih dalam dalam menentukan hala tuju masa hadapan masing-masing.

Masa yang ada perlu dimanfaatkan dengan sepenuhnya bukan sebagai ulat buku dan bijak dalam akademiknya sahaja, tetapi bersikap bijaksana dalam melihat keperluan masa hadapan.
Cabaran besar juga menanti mereka yang berada di universiti dengan menghadapi pelbagai perubahan yang ada. 

Pertama ialah pembelajaran kendiri yang tidak lagi bergantung kepada semata-mata kuliah dan pensyarah. Pensyarah hanya menjadi fasilitator manakala usaha mencari dan menerokai ilmu perlu dilakukan sepenuhnya oleh pelajar.

Kedua ialah kaedah dan suasana pembelajaran yang jauh berbeza. Mahasiswa yang memasuki universiti berhadapan dengan kepentingan untuk membuat keputusan, memilih dan melakukan yang terbaik untuk dirinya. Mereka perlu lebih berdisiplin dan menghargai kebebasan yang ada.

Ketiga, mereka berhadapan dengan pelbagai pengaruh. Banyak pihak yang melihat mahasiswa sebagai kumpulan yang ideal dalam pemikiran dan tindakan akan berusaha mempengaruhi sama ada di bilik kuliah dalam kalangan para pensyarahnya ataupun dalam kalangan pelbagai kumpulan yang cuba menarik dan memanfaatkan untuk kelompok atau kumpulan masing-masing.

Kesimpulannya, mahasiswa merupakan individu yang dapat memberi khidmat bakti, mencari pengalaman dan mendewasakan diri dengan pengalaman baharu dengan nilai-nilai universiti tanpa melupakan dari mana dia bermula dan jati diri yang ada. Oleh itu, mereka perlu sentiasa ingat tanggungjawab-tanggungjawab yang telah dipikul oleh mereka sejak mereka menjejak kaki masuk ke universiti.







No comments:

Post a Comment